ERTI HIDUP
Lumur badan dengan minyak gris
DIA bertekad menjadi manusia paling tua berenang menyeberangi Selat Inggeris, Julai ini. Pemilik nama Azizan Ali, 62, mahu membuktikan faktor usia bukanlah penghalang bagi menggapai impian. “Sungai di Pengkalan Asam, Kangar, Perlis yang dikatakan dihuni buaya ganas pun saya telah renang hinggakan ramai menganggap saya gila,” bicaranya yakin kepada wartawan MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.
APA rahsia kekuatan anda?
Tiada rahsia sebenarnya. Saya mengamalkan makan ulam-ulaman seperti jering, pegaga, mengkudu, rebung dan pucuk betik.
Kebiasaannya, saya makan ulam tersebut mentah-mentah dengan nasi. Ini bagi mengelak khasiat makanan itu hilang. Saya juga mengambil air yang banyak iaitu lapan liter sehari.
Empat biji telur separuh masak menjadi kemestian setiap pagi. Saya makan bahagian yang putih sahaja kerana yang kuning banyak lemak.
Saya juga tidak menghisap rokok dan mengamalkan tidur yang cukup iaitu selama enam hingga lapan jam sehari.
Petua lain yang berbeza dengan orang lain ialah saya banyak ketawa dan senyum. Mungkin pelik tapi penting kerana ia mampu menyihatkan.
Ini kerana apabila seseorang banyak senyum dan ketawa, ia akan mengerakkan jutaan urat dan sel muka yang mampu menyegarkan badan kita selain menghasilkan bahan kimia baik untuk tubuh.
Saya juga mengamalkan pengambilan vitamin tambahan. Ini memberikan kekuatan fizikal, sama seperti kuasa enjin kereta Lamborghini (ketawa).
|
|
Mengapa lumur minyak gris ke seluruh badan semasa berlatih?
Saya berlatih renang di Sungai Pengkalan Asam. Ada orang kata saya gila kerana sungai itu didakwa ada buaya. Saya pula berenang seorang diri dengan memakai seluar renang, google serta berkaki ayam.
Jadi sebelum berenang, saya akan menyapu minyak gris (berwarna merah dan kebiasaannya untuk membaiki motosikal dan kereta) serta kapur barus pada seluruh badan.
Bau kedua-dua bahan itu cukup busuk dan mungkin menyebabkan buaya lari kerana bau saya. Kalau tidak saya pun kena berenang laju untuk selamatkan diri (ketawa).
Saya membuat latihan renang dan juga berjoging selama tujuh hari seminggu. Ini bermakna setiap hari saya membuat latihan. Waktunya pula pada pagi dan petang.
Untuk waktu pagi selepas solat Subuh, saya akan berjoging di Denai Pengkalan Asam, Kangar dan juga latihan renang di kolam renang utama, Stadium Utama, Kangar, Perlis. Secara kasarnya sejauh 20 kilometer sehari.
Biasakah anda mengalami kejang otot atau digigit ikan?
Saya pernah mengalami kekejangan otot kaki dan juga hampir lemas di Pantai Klebang, Melaka semasa menyertai satu pertandingan renang pada tahun 1995.
Mungkin kerana saya terlalu obses dan juga yakin dengan diri sampai tidak membuat latihan, menyebabkan saya hampir lemas dengan ombak setinggi dua meter. Syukur saya diselamatkan oleh pengawal pantai.
Tetapi sepanjang melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan renang selama lebih 30 tahun, saya tidak pernah digigit ikan, di sengat pari atau obor-obor. Terminum air laut perkara biasa.
Saya juga tidak pernah berhenti berdoa dan mengucap dua kalimah syahadah setiap kali berenang kerana ajal maut kita tidak tahu bila.
Apa yang ingin anda buktikan dengan berenang menyeberangi Selat Inggeris?
Saya ingin buktikan orang Melayu mampu menandingi orang Eropah dan benua lain dalam pelbagai lapangan.
Malah saya ingin membuktikan faktor psikologi memainkan peranan penting bagi seseorang. Umur dan sebagainya tidak menjadi penghalang jika kita bertekad untuk berjaya. Orang berumur pun masih 'power' jika mengamalkan latihan dan pemakanan yang baik
No comments:
Post a Comment