Friday, April 9, 2010

COURIER JURNAL DIGITAL



GAYA dwi-skrin yang boleh dilipat ini membawakan ciri penampilan eksklusif.


PERSAINGAN di antara gergasi teknologi maklumat, Microsoft dan Apple sejak lebih dua dekad lalu nampaknya masih belum berakhir. Kedua-dua syarikat ini tidak putus dalam menghasilkan produk terkini bagi memastikan kelangsungan mereka dalam industri.

Jika dahulu mereka berlumba-lumba dalam membangunkan sistem operasi (Windows & Macintosh), sejak akhir-akhir ini pula mereka mula mengalihkan tumpuan kepada gajet digital.

Tidak lama selepas Apple memperkenalkan tablet mereka - iPad, Microsoft tidak hanya berdiam diri malah telah bersiap sedia untuk memperkenalkan prototaip tablet versi mereka yang diberi nama Courier.

Berbeza dengan iPad yang berbentuk seperti sekeping papan putih kecil, gajet ini mempunyai dwi-skrin yang boleh dilipat. Mendampingi pengguna sebagai jurnal digital, ia senang dibawa lantaran beratnya kurang dari 500 gram, berketebalan kurang dari seinci dan berukuran lebih kurang sebuah bingkai foto bersaiz sederhana.

Gajet mutakhir Microsoft ini dilaporkan bakal menggunakan pemproses web bergerak terkini keluaran Nvidia - Tegra 2, yang direka khusus untuk gajet bergerak seperti tablet dan e-book.

Pemproses grafik ini menjanjikan pengalaman melayari web yang maksimum termasuk keupayaan memainkan video beresolusi tinggi 1080p, sokongan skrin sesentuh 3D dan jangka hayat bateri yang lebih panjang. Ia juga dikhabarkan bakal menggunakan sistem operasi yang sama digunakan pada Zune HD dan juga Pink.


KEBANGGAAN Apple iaitu iPad kini sudah ada pencabarnya.


Skrin Microsoft Courier ini berkelebaran 7-inci dan menyokong peranti input berasaskan pen dan mempunyai aplikasi yang mampu mengenali tulisan tangan. Kelebihan ini memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menggunakan jurnal digital ini sama seperti buku nota.

Selain itu, Courier juga bakal dilengkapkan dengan kamera binaan dalam dan fon kepala bagi membolehkan pengguna menikmati video atau lagu kegemaran mereka tanpa mengganggu privasi orang di sekitarnya.

Seperti hampir kebanyakan gajet bergerak hari ini, Courier disertai keupayaan WiFi bagi membolehkan Internet diakses dari lingkungan yang mempunyai capaian ini. Tambah menarik, Courier juga boleh digunakan sebagai buku elektronik atau lebih popular dengan panggilan e-book.

Berbeza dengan fungsi utama iPad sebagai gajet hiburan, kegunaan Courier lebih kepada buku catatan harian atau organizer digital.

Ia membolehkan anda menjejaki dan mengemaskini temu janji, tugasan yang perlu dibuat, nombor hubungan dan juga catatan ringkas, lalu menjadikan golongan profesional dan ahli perniagaan sebagai sasaran utama pengguna gajet ini kelak.

Gajet ini juga dikatakan begitu fleksibel, membolehkan anda menghasilkan lukisan dan lakaran menggunakan aplikasi seperti Microsoft Paint. Selain berupaya membuat catatan dan mengambil gambar, Courier turut membolehkan pengguna melayari Internet dan membuat cekupan gambar dan teks terus dari laman web.

Sungguhpun belum ada pengesahan tentang spesifikasi sebenar gajet keluaran Microsoft ini, Courier tentunya bakal mempunyai ciri asas sebuah jurnal digital dan mampu memberikan tamparan kepada pesaingnya. Dan tidak mustahil ia akan muncul dengan beberapa 'kejutan' lain apabila dilancarkan pada pertengahan tahun ini seperti yang dirancang.

No comments:

Post a Comment