Bakat pemuzik muda
DI satu sudut jalan yang dipenuhi deretan meja dan kerusi untuk pelanggan menjamu selera, seorang lelaki bersama dua anaknya mengambil tempat.
Tanpa berlengah si bapa mengeluarkan peralatan yang disimpan di dalam beg kecil yang disandangnya. Selepas membetulkan kedudukan gitar dan memeriksa bunyi audio, lelaki itu mula memberi isyarat kepada kedua-dua anaknya.
Tidak sampai sepuluh saat, irama lagu Inggeris nyanyian kumpulan The Bee Gees bertajuk, All By Myself menjadi halwa telinga pelanggan yang menjamu selera di kawasan tersebut.
Selepas habis menyanyikan beberapa lagu, seorang kanak-kanak lelaki menghulurkan kantung kecil berwarna hitam kepada orang ramai di sekitar kawasan tersebut.
Ada yang menghulurkan not kertas berwarna biru, hijau dan not berwarna merah. Itulah rezeki mereka pada malam tersebut.
|
|
Hakikatnya pelajar berusia 12 tahun itu bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini manakala kakaknya pula akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Walaupun kedua-duanya akan menduduki peperiksaan penting, namun rutin harian membantu bapa mereka, Feisal Fakaruddin bermain muzik di jalanan tidak akan ditinggalkan.
Sebaliknya, dua beradik itu nekad menghulurkan kudrat yang ada untuk mencari rezeki yang halal dengan menjual suara di jalanan bersama bapa yang dikasihi.
Tidakkah terbit rasa malu kepada Nabila Armanda, 15, saat membuat persembahan di depan orang ramai memandangkan dia masih remaja? Jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai itu: "Apa yang nak dimalukan. Saya cuma membantu ayah mencari rezeki. Lagi pun kami bukan mengemis. Sebaliknya, kami menggunakan bakat yang dianugerah Allah untuk meneruskan kehidupan."
Gadis berambut ikal separas bahu itu memberitahu, aktiviti bermain muzik di jalanan baru sahaja dilakukan sejak dua tahun lalu.
Itupun atas kehendak dirinya sendiri. Dia tidak dipaksa oleh sesiapa termasuk ayahnya. Cuma, sebagai anak sulung rasa tanggungjawab untuk membantu keluarga membuat Armanda membuang jauh-jauh perasaan malu pada awal penglibatan.
Seronok bermain muzik
"Saya pula yang rasa seronok apabila melihat orang ramai menjerit dan tidak segan silu meminta kami menyanyikan lagu lagi setelah persembahan habis," jelas Armanda sambil tangan erat mendakap tamborin kesayangannya.
Sementara itu, bagi pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Bangsar, Arman Dien, 12, mengaku minatnya untuk bermain muzik timbul sejak berusia sembilan tahun.
Pada waktu itu, dia mula berjinak-jinak dengan bonggo kerana terpikat dengan iramanya. Menariknya, Arman tidak pernah mengikut kelas muzik secara formal tetapi hanya belajar sendiri mengikut rentak sambil dibantu oleh ayahnya.
Minat yang mendalam mendorong Arman berjaya menguasai teknik bermain bonggo dalam masa tiga bulan. Malah, jika melihat jari-jemarinya menepuk bonggo, Arman boleh dianggap sebagai pemuzik cilik profesional.
"Saya rasa seronok bermain muzik. Di samping itu, saya rasa puas apabila orang ramai yang menyaksikan persembahan kami turut bertepuk tangan mengikut irama lagu yang dinyanyikan," tutur Arman yang bercita-cita untuk menjadi polis suatu hari nanti.
Jika Armanda dan Arman gembira dapat meringankan beban orang tua mereka, Feisal atau lebih dikenali sebagai Carlos di kalangan peminatnya pula mempunyai perasaan sebaliknya.
Sebagai bapa yang bertanggungjawab mencari nafkah, sudah pasti perasaan hiba akan bertandang jauh di lubuk hati apabila melihat kesungguhan anak-anaknya menghulurkan bantuan.
Benar, itu yang dirasai oleh Carlos, 46, ketika mula-mula membawa dua permata hati kesayangannya untuk bermain muzik di jalanan.
|
|
"Memang saya terharu dengan sikap Armanda dan Arman yang tidak segan silu membuat persembahan bersama saya. Kalau boleh, saya memang tidak mahu mereka berbuat demikian," ungkap Carlos yang berpengalaman lebih 15 tahun bermain muzik di jalanan.
Namun, Carlos terpaksa akur dengan permintaan anak-anaknya yang benar-benar ikhlas untuk membantunya meringankan beban keluarga.
Tanpa segan silu, bapa kepada empat orang cahaya mata itu berkongsi bahawa dengan rezeki itulah yang menyara kehidupan keluarganya sejak bertahun-tahun lamanya.
Sebagai keluarga busker iaitu mencari rezeki dengan menghiburkan orang ramai di jalanan, Carlos bersyukur dengan segala kurniaan Allah. Bakat bermain muzik, anak-anak yang baik dan isteri yang memahami menguatkan lagi semangatnya meneruskan kerjaya itu.
"Mungkin ramai yang memandang hina terhadap kerjaya sebegini, namun saya tidak ambil peduli. Apa yang penting, saya hanya mempertaruhkan bakat yang dianugerahkan untuk menghiburkan orang ramai sekali gus mencari rezeki dengan cara halal," tegasnya sambil mengakui kerjaya pemuzik jalanan di luar negara lebih dihormati berbanding di negara ini.
Perasaan tersebut turut dikongsi isterinya, Suhaili Sani yang sedih apabila saudara-mara mereka yang mengutuk tindakan suaminya membawa Armanda dan Arman bermain muzik.
Namun, semua keperitan itu ditelan oleh pasangan suami isteri tersebut.
Lama-kelamaan suara-suara sumbang itu langsung tidak kedengaran memandangkan Armanda dan Arman dapat menyeimbangkan antara akademik dan bermain muzik.
Biasanya pada waktu siang, selepas pulang dari sekolah, Armanda dan Arman akan mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan yang diberi guru.
Mereka juga rajin menjaga adik bongsu, Lucqan Firdhause yang berusia setahun dua bulan dan melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.
"Hanya pada sebelah malam, mereka akan mengikut Carlos bermain muzik di sekitar Kuala Lumpur," terang Suhaili ketika ditemui di rumahnya yang terletak di PPR Kerinchi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Tambah wanita berusia 37 tahun itu, suami dan anak-anaknya akan menunggang motosikal untuk ke lokasi persembahan.
Bagaimanapun, jika hari hujan mereka terpaksa duduk di rumah.
Selain membuat persembahan di jalanan, keluarga pemuzik itu juga menerima jemputan daripada individu yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.
Sebarang pertanyaan, hubungi Carlos di talian 012-350 1756.
No comments:
Post a Comment